1.b. Pantangan Larangan Bagi Perempuan Hamil

Attayaya Butang Emas on 2008-08-08

Maka diperbicarakan orang didalam masa-masa kehamilan ini adalah pantangan dan larangan yang diindahkan, kerana tiada boleh hendak diperkecilkan-kecilkan. Bersebab pantang larang yang diperingatkan oleh orang-orang tua, bukanlah tiada mempunyai sebab musabab, tentulah ianya tersabit kepada pengalaman turun temurun.
Oleh sebab itu, dalam kaitan ini hendaklah juga diberikan kepada beberapa contoh pantang larang ketika masa kehamilan bagi calon emak maupun juga kepada suami atau calon ayah.
Pantang larang itu diantaranya sebagai yang ternukil berikut ini bagi perempuan yang sedang hamil:
  • Tiadalah konon diperkenankan untuk melalui atau melewati tempat menyidai pakaian atau penjemur kain, dikhawatirkan anaknya lahir dalam keadaan melintang.
  • Tiadalah diperkenankan untuk membelah ikan dibagian kepala, terutama jika ikan itu besar, takut kelak anak yang dilahirkan menjadi cacat atau sumbing bibirnya.
  • Tiada diperbolehkan membelah puntung kayu, dikhawatirkan anaknya kelak cacat.
  • Tidak boleh mencacak pagar, ditakutkan akan susah ketika melahirkan.
  • Janganlah mengikat tali, rotan atau akar, dipercayai akan sukarlah ketika melahirkan.
  • Tiadalah dibenarkan seseorang itu melewati atau melintas di belakang kepada perempuan hamil yang sedang duduk, takut nyeman atau menyerupai orang yang lalu dibelakang. Kalau ingin lewat di belakangnya hendaklah diberitahu dahulu.
  • Tiadalah pula elok melilit kain sesuatu dileher, ditakutkan kelak si anak akan terlilit tali pusat ketika lahir.
  • Kemudiannya bagi perempuan hamil tiadalah elok untuk memperkatakan keburukan ataupun kecacatan seseorang, sebab akan dikhawatirkan kelak anaknya lahir menyerupai kepada orang yang dicelanya. Tetapi jika ianya terlepas kata sebaiknya meminta ampun kepada Allah dengan cara beristighfar.
  • Sebaiknya kepada wanita yang sedang hamil, dipersenang-senangkan hatinya.